Thursday, February 18, 2010

SEMBELIT

 
APAKAH ITU SEMBELIT ?

Sembelit adalah kesukaran untuk membuang air besar,atau jarang atau tidak membuang air besar dengan sempurna. Pesakit yang mengalami sembelit akan mendapati najis mereka lebih keras dari biasa, merasa sakit dan susah untuk mengeluarkannya. Terasa seolah-olah najis tersebut tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya. Gejala-gejala lain yang mungkin dialami oleh pesakit ialah perut terasa kembung, tidak selesa dan lembap.

SIAPA YANG AKAN MENDAPAT SEMBELIT ?

Sembelit ditakrifkan berbeza-beza dari seorang ke seorang. Terdapat pelbagi pendapat tentang apa yang dikatakan bentuk/pola pergerakan usus yang normal. Kebanyakan orang mendakwa bahawa mereka akan mendapat sembelit jika usus mereka tidak bergerak setiap hari. Sebenarnya, tabiat usus yang normal tidak boleh ditentukan oleh jumlah sebenar pergerakan usus dalam sehari atau seminggu.. Pergerakan usus yang normal mungkin berbeza dari 3 kali sehari hingga ke 3 kali seminggu, bergantung kepada diri seseorang itu. Sesetengah dari mereka yang sihat mungkin mengeluarkan najis yang keras sedikit dari orang lain tetapi tidak mengalami sebarang masalah untuk mengeluarkannya. Sembelit merupakan masalah gastrousus yang sangat biasa berlaku. Setiap orang mengalami masalah sembelit, tetapi kebanyakan dari mereka yang melaporkannya terdiri dari kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua yang berusia 65 tahun ke atas. Sembelit juga terjadi di kalangan wanita mengandung dan mereka yang baru melahirkan anak atau menjalani sesuatu pembedahan.

APAKAH YANG MENYEBABKAN SEMBELIT ?

Di antara penyebab sembelit ialah :
 
1. Makanan yang kurang serat
 
2. Kurang mengambil cecair
 
3. Perubahan corak pemakanan
 
4. Ubat-ubatan
 
5. Kurang bersenam

6. Perubahan hidup seperti mengandung, peningkatan umur atau dalam perjalanan / mengembara
 
7. Terlalu uzur (terbaring di katil)
 
8. Suka menangguh untuk membuang air besar.
 
9. Penyalahgunaan julap atau laksatif
 
10. Dehidrasi/kekontangan
 
11. Mengalami penyakit saraf dan kongenital.

PENJAGAAN DIRI

Sembelit yang tidak ada kaitannya dengan masalah kesihatan boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang tidak perlukan perundingan doktor, di samping mengubah gaya hidup dan menukar cara makan atau pemakanan (diet).

PEMAKANAN

Tingkatkan pengambilan serat dalam makanan (20-35g setiap hari) akan membantu melembutkan najis dan melawaskan pembuangan air besar. Makanan yang mengandungi serat yang tinggi adalah seperti bijirin (beras, oat, barli, gandum, rai), buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Pengambilan serat dalam makanan perlu diamalkan setiap hari untuk menghalang perut menjadi sebu dan terasa senak atau kembung. Serat perlu diambil dengan meminum air lebih banyak.

PERUBAHAN GAYA HIDUP

Perubahan gaya hidup dapat membantu mencegah dan merawat sembelit. Amalkan meminum air secukupnya (6 - 8 gelas sehari) termasuklah cecair lain seperti sup, jus buah-buahan dan sayur-sayuran. Kalau anda terasa hendak membuang air besar, jangan suka berlengah atau menangguhkannya.

SENAMAN

Senaman secara tekal adalah penting untuk melawaskan pergerakan najis. Bagi pesakit yang uzur yang berada di kerusi roda atau terbaring di katil mereka perlu dibantu untuk mengubah kedudukan mereka dari masa ke masa.. Mereka perlu dilatih untuk membuat senaman mengecutkan abdomen/perut dan mengangkat kaki.

Ubat-ubatan Biasanya, anda tidak perlu mengambil julap (laksatif) apabila mengalami sembelit yang ringan. Julap atau enema disyorkan untuk jangkamasa terhad sahaja terutama bagi pesakit-pesakit yang tidak menunjukkan sebarang kesan setelah mengubah gaya hidup mereka. Julap atau laksatif ini digunakan untuk merawat sembelit. Ubat ini boleh diambil secara oral/telan dalam bentuk pil, campuran, serbuk atau bintilan dan juga disediakan dalam bentuk supositori atau enema . Terdapat banyak jenis ubat julap bergantung kepada mekanisme tindakannya. Sembelit yang akut atau kronik perlu dirawat dengan cara yang berbeza yang akan ditentukan oleh doktor atau pegawai farmasi.

Julap seringkali disalahgunakan sehingga ia telah menjadi satu kemestian atau tabiat. Adalah penting bagi pesakit menyedari bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada ubat julap. Mereka perlu mengubah cara hidup dengan melakukan senaman secara berkala atau tekal dan mengubah cara makan untuk melawaskan pergerakan usus.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...